Wednesday, April 10, 2013

~ENGKAU IMAM,,,DAN AKU MAKMUM~


     Untuk kesekian kalinya, ingin aku coretkan rasa hatiku buat insan yang bakal menjadi pelengkap hidupku. Siapa kamu? Di mana kamu? Apa yang kamu lakukan? Bagaimana keadaanmu? Sungguh aku tidak tahu sedikit pun akan perihal dirimu namun hanya satu yang aku pasti, engkaulah lelaki itu yang telah ALLAH takdirkan untuk menjadi suamiku, pembimbingku ke jalan yang diredhai ALLAH dan temanku untuk menuju kehidupan yang abadi.

     Aku ini hanya wanita yang lemah, terlalu banyak kekhilafan yang telah aku lakukan dalam sedar ataupun tidak. Tidak pernah aku kesali akan perjalanan hidupku kerana aku yakin bahawa segala perkara yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya. ALLAH telah menguji aku dengan pelbagai ujian sama ada pahit, manis, suka dan duka. Dan sekali lagi tidak pernah aku kesali akan segala ujian yang hadir kerana aku tahu betapa ALLAH sangat sayangkan aku. “jangan katakan kamu beriman selagi kamu tidak diuji”. Inilah di antara ayat yang terdapat dalam kalam ALLAH sebagai bukti bahawa perjalanan untuk menuju keimanan bukanlah sesuatu yang mudah.

     Namun begitu, aku mohon pengertian darimu seandainya aku tidaklah sebaik atau sesempurna yang engkau impikan. Maafkan aku kerana aku pernah memberikan cinta kepada insan lain sebelum kamu, sedangkan kamulah yang paling berhak ke atas cintaku. Maafkan aku kerana telah menodai hati ini dengan meletakkan insan lain di ruang hatiku sebelum tiba masanya aku bertemu kamu, sedangkan hanya kamu yang layak bertakhta di hatiku. Setelah sekian lama, ALLAH hadirkan kesedaran di hatiku bahawa ada seseorang menanti diriku untuk dijadikan sebagai permaisuri di syurga dunia dan bidadari di syurga akhirat.

     Walau aku terlalu banyak kekurangan, aku pinta izinkan aku untuk menjadi ketua bidadarimu di syurga ALLAH nanti tetapi ianya tidak  mencukupi sekiranya kita sekadar menjadi muslim dan muslimah sahaja. Kerana itulah aku memerlukan kamu untuk menjadi mukmin yang sejati agar dapat kamu memimpin aku untuk menjadi mukminah dan kita sama-sama berjuang untuk menjadi insan muttaqin. Untuk kamu yang bakal melengkapi hidupku, jangan terlalu mengharapkan bahawa aku ini sudah cukup solehahnya. Aku masih berusaha untuk menjadi wanita solehah kerana itulah impian aku, untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah.
  
     Dalam perjalanan untuk membentuk solehah dalam diri, ada ketika aku terleka, terlalai dan tersungkur di jalan yang salah. Dosa dan noda sentiasa terpalit dalam tindakanku sekaligus menjadikan hatiku suram dan pudar kesuciannya. Maafkan aku kerana ada detiknya aku terlupa akan kewujudanmu untukku sehinggakan aku menjadi seperti manusia yang tiada iman di hati. Aku cuma ingin kau tahu betapa hati ini terlalu rindukan kamu dan menanti cinta darimu. Tetapi aku tidak mahu kita bertemu di jalan cinta yang salah. Aku ingin jalan cinta yang halal bersamamu kerana engkaulah bakal ayah kepada anak-anakku nanti. Dan biarlah zuriat yang bakal lahir adalah berpunca dari permulaan yang diredhai ALLAH.

     Wahai bakal ayah kepada anak-anakku, aku yakin engkau juga mengimpikan perkara yang sama sepertimana aku mengharapkan zuriat yang bakal lahir mampu menjadi harta paling berharga buat kita di dunia dan akhirat. Dan mereka hanya akan menjadi harta paling berharga apabila menjadi anak-anak yang soleh solehah. Bukan mudah untuk mendidik dan membentuk mereka agar sentiasa memilih untuk berjuang di jalan ALLAH, sedangkan jalan itulah yang penuh dengan dugaan. Oleh kerana itu, aku sangat-sangat berharap engkau mampu menjadi imam kepada keluarga bahagia kita nanti. Engkau berperanan untuk mendidik kami dan aku sebagai isterimu, bertanggungjawab untuk mengingatkan apabila kau terlupa.

     Namun begitu, aku mohon agar kau mampu menegur aku secara berhikmah andai ada kesilapan yang aku lakukan. Jika ada tindakanku yang tidak menyenangkanmu, tegurlah aku dengan penuh kasih sayang. Jika ada kekuranganku yang membuat engkau tidak selesa, khabarkan kepadaku dengan penuh rasa cinta. Agar aku tahu akan kelemahanku dan berusaha untuk membaiki semuanya untuk kebahagiaanmu, suamiku. Sayangi dan cintailah aku seadanya kerana aku wanita yang dicipta dari tulang rusukmu. Maka, akulah yang akan melengkapkan keseluruhan rusukmu itu.

     Tapi jangan pernah kau lupa wahai bakal suamiku, aku ini merupakan tulang rusuk yang bengkok. Jika kau ingin luruskannya sudah pasti ia akan patah dan jika kau terus biarkan ia bengkok, maka aku tidak akan pernah mampu untuk sempurnakan hidupmu. Ingatlah yang tulang rusuk ini dekat di bahu untuk dilindungi dan dekat di hati untuk dikasihi, bukan letaknya di kepala untuk dijunjung dan bukan pula letaknya di kaki untuk dipijak. Semoga ALLAH temukan kita pada jalan nikah yang halal dan kita dapat bersama berusaha dalam meraih CINTA dan REDHA ALLAH.
Aamiin ya RABB……

TERISTIMEWA BUAT,
Kamu yang bakal menjadi suamiku


~pimpin aku ke jln ILAHI~


~moga ALLAH redha~

No comments:

Post a Comment